Kepimpinan Kee Abdullah

Pada mulanya beliau adalah kepercayaan pihak Inggeris dengan perlantikan sebagai pegawai kerajaan Inggeris yang pertama ditugaskan di Tawau pada 1894. Kemudian beliau menjadi sebahagian masyarakat Melayu dan masyarakat Islam melalui perkahwinan dan hubungan keluarga. Sebagai seorang yang terpelajar, beliau bersama-sama dengan Imam Mustapa dan Habib Sheikh menjadi rujukan dan harapan masyarakat Melayu di Tawau ketika itu. Jika Habib Sheikh (menjadi ketua masyarakat pada 1916 ) dan Imam Mustapa ( menjadi ketua masyarakat pada 1925 ) menjadi rujukan agama, Kee Abdullah pula menjadi rujukan soal urusan dengan Kerajaan Inggeris. Mereka bertiga iaitu Kee Abdullah, Imam Mustapa dan Habib Sheikh merupakan pemimpin dan wakil masyarakat Melayu yang diiktirafkan Kerajaan Inggeris dan menduduki tempat dalam Mahkamah Anak Negeri (Native Court).

Kee Abdullah juga pernah terlibat dalam usaha mewujudkan sebuah pekan baru iaitu Pekan Tawau yang baru di sebuah tempat yang lebih strategik iaitu di sebuah tempat yang dikenali sebagai 'Tanjung' untuk menggantikan pekan lama iaitu 'Tawau Lama' yang tidak sesuai lagi untuk dijadikan pusat ekonomi bandar. Usaha ini sebagai langkah untuk menjadikan Tawau sebagai pekan yang lebih luas dan selesa menjadi pusat perdagangan dan perniagaan memandangkan Tawau Lama ketika itu agak sempit dan dipenuhi dengan rumah-rumah kampung masyarakat tempatan.

Oleh kerana beliau sangat dihormati oleh masyarakat Melayu dan juga mendapat kepercayaan British, beliau telah dilantik menjadi Ketua Masyarakat menggantikan Imam Mustapa. Seterusnya jawatan ketua masyarakat ini telah digantikan dengan jawatan baru yang dikenali sebagai Orang Kaya Kaya atau OKK. Kee Abdullah telah diberi penghormatan untuk pertama kalinya memegang jawatan yang baru ini dan selepas itu beliau dikenali sebagai OKK Kee Abdullah. Beliau terus memegang amanah untuk memikul tugas dan tanggungjawab sebagai Ketua Anak Negeri merangkap Penghulu atau Ketua Masyarakat sehinggalah akhir hayat beliau dan jawatan ini diteruskan pula oleh anak beliau sendiri iaitu OKK Abu Bakar seorang pemimpin yang berwibawa , berjasa , dihormati serta disayangi oleh masyarakat Melayu Tawau ketika hidupnya.

OKK Kee Abdullah meninggal dunia pada tahun 1936 ketika berusia 73 tahun setelah lama menyumbangkan jasa dan berbakti kepada bangsa Melayu Tawau selama puluhan tahun. Semasa beliau meninggal dunia, nama beliau sangat dihormati oleh masyarakat Melayu Tawau dan beliau terus dikenang kerana jasa-jasa beliau. Kerana itulah juga anak beliau, Abu Bakar Abdullah dilantik menggantikan beliau sebagai Orang Kaya-Kaya (OKK) atau Penghulu merangkap Ketua Masyarakat Melayu Peribumi (Native Chief). Kini, nama Kee Abdullah telah diabadikan di sebuah jalan di bandar Tawau sempena memperingati jasa-jasa kepada masyarakat dan penduduk di Tawau ini.

Pada ketika ini, keturunan Kee Abdullah masih lagi menyumbangkan jasa dan bakti kepada rakyat Malaysia di Tawau. Antaranya ialah Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan, Adun Apas merangkap Pembantu Kewangan Ketua Menteri iaitu cicit beliau yang merupakan anak kepada Kee Hafsah binti Kee Abu Bakar. Selain itu, bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, K.Y. Mustafa juga adalah cicit beliau iaitu anak kepada Kee Yusuf bin Kee Suleiman. Manakala Ketua Anak Negeri Tawau kini iaitu Kee Ayub bin Kee Abu Bakar adalah cucu beliau sendiri.